Jumaat, 1 Julai 2011

Peristiwa Ketika Usiaku 10 Tahun

Aku termenung terfikirkan kenapa sifat dalam diriku nampak ' manja & sensitif ' apabila perasaan ini tersentuh dengan persekitaran. Mungkinkah peristiwa 15 tahun lalu membayangi diriku ini. Tarikh 16 Januari 1996 bersamaan hari selasa merupakan tarikh keramat yang akan ku ingati sampai bila-bila kerana hari tersebut sangat bermakna dalam hidupku. Hari yang memberi kemanisan dan kepahitan setelah 10 tahun aku bergelar anak bongsu. Lebih kurang jam 1.00 pagi terdengar tangisan bayi di ruangan rumah tempat aku diami dan yakinlah diri ini telah pun bergelar “abang” mulai saat detik tersebut. Perkara pertama yang ku lakukan sewaktu bangun untuk bersiap ke sekolah adalah melihat sendiri kelembutan rupa paras wajah “adikku” tersebut. Dia sangat comel dan cantik pada pandangan mata ini. Aku sangat bertuah pada masa itu kerana akhirnya mempunyai seorang adik dan yang lebih bermakna dia satu-satunya wanita dalam kelompok adik-beradik aku. Apabila mula melangkahkan kaki ke sekolah, aku masih teringat secara spontan tanganku melambai ke arah “adik perempuanku” itu. Sungguh indah rasanya hari tersebut dan di sekolah aku tidak sabar lagi kembali pulang ke rumah untuk melihat dan menjaga “adik yang ku sayangi” itu. Namun segalanya berubah apabila suasana di luar rumah seakan menuju ke senja hari. Sekitar jam 5.00 ptg aku tersentak apabila sewaktu bersama “adik kesayanganku” itu, emak yang berada disebelah 'adikku' telah meminta aku memanggil seseorang yang boleh ku anggapkan seperti datuk sendiri ( telahpun arwah). Dalam keadaan keliru dan tidak mengetahui apa telah berlaku aku gagahi menuju ke rumah datuk tersebut dengan berlari-lari anak. Ayahku pula ketika itu keluar mencari daun pokok jambu untuk digunakan sebagai tujuan perubatan ibuku yang dalam pantang. Sebaik sampai di rumah bersama 'datuk' aku mengambil keputusan menunggu ayah di persimpangan jambatan menuju rumah kami. Berita sedih petang tersebut menyebabkan aku yang masih lagi kecil, merasa sangat mengerti kerana hanya sempat bergelar “abang” dalam tempoh tak sampai 24 jam dan lebih memeritkan 'ayahku' terduduk kaku menangis kesedihan saat tiba di muka pintu setelah dikhabarkan telah kehilangan insan yang kami sayangi sekeluarga. Hal tersebut dimaklumkan kepada abang kedua aku yang masa itu bekerja di Kota Kinabalu dan dia sampai keesokannya menaiki kapal terbang. Urusan pengebumian dibuat pada sebelah pagi dan beberapa saudara-mara datang menziarahi keluarga kami serta membantu dalam hal menguruskan jenazah arwah “adik aku”. Semasa ayah sedang menyiapkan kayu nisan diukir ringkas, keluarga kami sepakat & bersetuju mengabadikan satu nama bagi insan yang hadir sekelip mata menjadi darah daging kami sekeluarga itu. Nama “Hairia binti Amil Hassan” sentiasa kekal terpahat di ingatan, jiwa dan hati aku untuk selamanya kerana kehadiran arwah sangat bermakna dalam hidupku walaupun telah 15 tahun ia meninggalkan 'abang' ini menjadi anak bongsu sekali lagi. Tetapi yang pasti, 'abang' pernah merasa sangat gembira di saat kehadirannya di dunia ini & berasa terkilan apabila “adik bongsu” terlalu cepat dipanggil oleh pencipta alam ini. Mungkin itu tanda Tuhan sangat menyayangi dirimu agar menjadi penghuni syurga wahai 'adikku'. Al-Fatihah.

5 ulasan:

  1. Al - fatihah...jangan sedih2 sepupuku...kau sedih aku pun sedih....aku dah kehilangan 2 orang adik lelaki...:)

    BalasPadam
  2. ye abg... sesungguhnye ada hikmah di atas yg blaku... smoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t

    BalasPadam
  3. Al fatihah.. bnyk kn bersabar ging.. YNWA

    BalasPadam